Sunday

trend 5: kedai buku 'megastore' dan kedai berangkai

Salah satu trend yang paling ketara kini ialah kemunculan kedai-kedai buku mega yang membuat banyak kedai-kedai milik persendirian yang kecil terpaksa ‘gulung tikar’ kerana sifat pesaingnya yang besar dan memberi kemudahan kepada pembeli. Contoh-contoh ‘megastores’ di Amerika Syarikat ialah Borders, Barnes&Noble, Books-a-Million dan Crown Books.

Kedai buku mega menawarkan pilihan buku-buku yang banyak, peluang membelek buku dengan lebih selesa, sofa-sofa untuk membaca dan ditambah dengan kemudahan kafe dan restoran. Trend ini amat ketara di Amerika Syarikat apabila jumlah keahlian American Bookseller Association jatuh mendadak sebanyak 20% dari tahun 2000 kepada 2002. Ini menunjukkan banyak penjual buku persendirian tidak lagi berada di dalam industri ataupun telah ‘dimakan’ oleh gergasi peruncitan buku tadi.

Trend ‘megastores’ ini juga mula dialami di Malaysia apabila MPH Bookshop telah membuka cawangan mega di Pusat Membeli-belah Midvalley Megamall (keluasan 22,000 kaki persegi) untuk menyaingi kedai buku Kinokuniya di Suria, KLCC yang seluas 24,000 kaki persegi. Untuk menambah rentak ‘megastores’, Popular Book Co. iaitu sebuah rangkaian kedai buku dari Hong Kong telah membuka sebuah cawangan yang besar (seluas 31,000 kaki persegi) di Kompleks Membeli-belah IKANO di Mutiara Damansara dan sekaligus menyaingi dua lagi ‘megastores’ yang terdahulu.

Namun begitu, permintaan yang meningkat daripada pasaran Lembah Kelang telah membuatkan MPH Bookshop membuka cawangan baru yang dua kali jauh lebih besar di Kompleks Membeli-belah One Utama, fasa dua dengan keluasan ruang pameran seluas 42,000 kaki persegi. Trend ini tidak berakhir apabila saiz pasaran semakin mengembang akibat daripada kadar minat membaca yang semakin meningkat di negara ini.

Paling terkini, Borders (gergasi peruncitan buku) pula telah membuka cawangannya yang paling besar setakat ini di Berjaya Times Square iaitu seluas kira-kira 60,000 kaki persegi dan sebuah lagi cawangan yang lebih kecil di The Curve, Damansara iaitu seluas kira-kira 20,000 kaki persegi bagi menyaingi megastore Popular tadi

Selain itu, trend pasaran peruncitan buku di Malaysia juga menyaksikan kewujudan banyak rangkaian peruncitan buku utama iaitu Popular Book Company, MPH Bookshop, Times The Bookshop, Borders, Kedai Buku Rhythm yang muncul bagi menggantikan kedai-kedai buku tradisional di negara ini.

Kedai-kedai buku tradisional seperti Pustaka Antara, Minerva dan rangkaian pengedar Dewan Bahasa dan Pustaka semakin kehilangan syer pasaran buku di sini kerana kemunculan lebih 160 buah kedai buku berangkai dan bilangan pertambahan kedai berangkai ini adalah di antara dua hingga empat kedai baru setiap tahun di seluruh bandar di Malaysia.

Kelebihan kedai buku berangkaian ini adalah kuasa mereka mendapatkan diskaun dagang dan syarat perniagaan yang lebih baik daripada para penerbit berbanding dengan pengaruh yang dimiliki oleh kedai-kedai persendirian. Pengguna juga lebih berminat untuk mengunjungi kedai-kedai berangkai ini kerana pilihan variasi yang banyak dan suasana persekitaran kedai yang lebih selesa.

No comments: