Monday

trend 3: penerbitan elektronik

Marshall McLuhan dalam bukunya The Gutenberg Galaxy yang meramalkan bahawa pengenalan kepada media digital masa kini memberi kesan yang sama dengan kesan yang dibawa oleh media elektronik pada tahun 1960-an. Orang ramai masih terkial-kial dalam menggapai kepesatan teknologi dan masih lagi terumbang-ambing di ambang perubahan dua teknologi daripada revolusi cetak ciptaan Johannes Gutenberg kepada era penerbitan elektronik dan seterusnya ke dunia penerbitan berdigital.

Berdasarkan kaedah penerbitan konvensional, setiap judul buku yang diterbitkan dianggap sebagai dua produk yang berlainan (variasi format yang berbeza), ini mengakibatkan buku tersebut mempunyai kuantiti cetakan yang rendah. Ini menyukarkan penerbit untuk mendapat pulangan modal yang telah dilaburkan bagi cetakan pertama tadi.

Namun begitu, dengan kemajuan dan pemodenan di bidang pra cetak seperti penggunaan grafik digital, dan perisian rekaletak yang canggih telah menyebabkan proses penerbitan buku lebih digital, berkomputer sepenuhnya dan lebih cepat. Hasilnya wujud banyak buku-buku ‘segera’ seperti buku “September 11” yang diterbitkan oleh Reuter Press hanya 7 hari selepas kejadian itu berlaku, “Al-Qaeda: Brotherhood of Terror” oleh Free Press hanya dua minggu selepas serangan tentera Amerika Syarikat di Afghanistan dan juga buku ‘Starr Report”, buku hasil penyiasatan Kenneth Starr tentang hubungan Presiden Amerika Syarikat, Bill Clinton dengan Monica Lewinsky yang terbit beberapa hari selepas terdedahnya kes tersebut. Lazimnya, penjualan buku-buku seperti ini sangat laris ketika isunya masih panas dan penerbit mengaut untung yang berlipat kali ganda.

Namun begitu, istilah penerbitan elektronik ini bukanlah merujuk kepada penerbitan buku secara ‘segera’ seperti di atas tetapi penerbitan elektronik ini merujuk kepada maksud yang berlainan sama sekali.

Penerbitan elektronik yang pertama ialah kewujudan buku dalam disket (books on Disk). Buku in merupakan produksi semula buku yang telah dicetak tetapi mempunyai nilai tambah yang lebih lagi seperti ciri-ciri interaktif dalam bentuk CD-ROM yang juga boleh digunakan sebagai ‘customized textbook’ di mana seseorang guru atau pensyarah hanya mahu menggunakan beberapa bab daripada buku asal dan diterbitkan khas untuk para pelajarnya sahaja.

Seperkara yang membuatkan buku dalam CD-ROM dan juga ‘e-book’ ini hanya dipasarkan sebagai bahan tambahan daripada buku asal kerana kos mencetak bahan cetakan konvensional bagi kuantiti yang banyak masih relatif murah, popular, mudah dibawa berbanding medium yang bergantung kepada elektrik atau kuasa bateri. Namun begitu, telah ada trend di mana beberapa buah judul terkenal boleh didapati dalam bentuk ‘e-content’ yang boleh dimuat turun kepada alatan seperti palm pilot atau personal organizer.

Selain daripada buku dalam disket, terdapat juga penerbitan elektronik lain seperti ‘audiobook’. Salah sebuah penerbit yang menerbitkan audiobook ini ialah The Reader’s Chair (http://www.readerschair.com/) yang menjual buku audionya dalam format MP3-CD selain daripada format disket dan CD. Salah satu kelebihan MP3-CD ialah ia mampu menyimpan sebanyak 12 jam rakaman audio. Ini membolehkannya menyimpan sebuah novel atau buku yang sangat tebal ke dalam satu CD. Delia White, pemilik The Reader’s Chair berpendapat kos inventori, duplikasi dan penghantaran menjadi jauh lebih murah berbanding penerbitan buku secara konvensional.

Selain daripada audiobook, kini terdapat juga audible book yang boleh diperoleh kandungannya dengan memuat turun bahan bacaan itu dari internet. Proses muat turun ini dimudahkan lagi dengan pengeluaran alat peranti keluaran Audible Inc. iaitu alat baca electronik MobilePlayer Plus yang mampu menyimpan data audio selama 8 jam.

Semua data dan kandungan buku disimpan di laman webnya. Apabila anda ingin membacanya, muat turun dengan menggunakan modem selama kira-kira 5 minit untuk kandungan audio selama 1 jam dan kemudian anda boleh membacanya secara offline.

Audible Inc. berusaha untuk menjual ‘kandungan’ yang boleh dimuat turun melalui laman web http://www.audible.com/ . Satu strtategi yang nyata apabila Audible Inc. berkerjasama secara strategik dengan 100 penerbit buku, majalah, akhbar dan radio utama di Amerika Syarikat dan ditambah dengan artikel-artikel terpilih daripada Harvard Business Review dan The Wall Street Journal.

Bagi pengguna yang mahu membaca akhbar, majalah, buku ataupun mahu mendengar radio, mereka hanya perlu ke laman web berkenaan, membuat pembayaran dan terus dibenarkan memuat turun bahan yang diidamkan ke MobilePlayer anda. Satu kelebihannya, anda juga dibolehkan membeli ‘kandungan’ artikel demi artikel secara berasingan atau beberapa bab sahaja (tentu dengan harga yang murah).

Pada masa depan, Microsoft Corporation yang juga merupakan pemegang saham Audible Inc. akan menyesuaikan sistem pengoperasian Windows CE untuk menerima bahan yang dimuat turun dari audible.com. Selepas itu, pengguna tidak terhad untuk membeli peranti MobilePlayer tetapi ia juga boleh disesuaikan pada mana-mana peranti telapak tangan (palm sized devices) dan juga PDA (personal digital assistant).

No comments: