Revolusi cetak berkualiti dalam kuantiti yang sedikit tetapi dengan kos yang munasabah ini menjadi impian penerbit yang sering mengalami lambakan stok lapuk di gudang. Rata-rata, penerbit terpaksa menyerap jumlah pulangan (returns) yang tinggi sehingga 30% daripada jumlah kuantiti pengedaran.
Dengan kewujudan print on demand ini membolehkan penerbit mencetak berdasarkan jumlah permintaan di pasaran dan bukannya berdasarkan titik kos efektif percetakan tradisional. Perkembangan print on demand ini bermula di penghujung 1990-an.
Teknologi ini mula diperkenalkan di Book Expo America (BEA) pada Jun 1998 apabila Ingram/Lightning Print Inc. (LPI) membuat demostrasi menggunakan Xerox Docutech 6180 yang mampu mencetak sebuah buku setebal 300 halaman, dan kemudian dijilid dengan rapi. Seluruh proses memakan masa selama 30 minit. Kos pengeluarannya pada ketika itu ialah US$5 senaskhah.
Semenjak itu, LPI telah menjadi agen POD bagi kebanyakan penerbit-penerbit tersohor seperti Random House, Simon & Schuster, HarperCollins, Bantam Doubleday dan Carol Publishing. Kini, LPI menguruskan aktiviti POD bagi lebih 3,500 buah judul daripada 250 buah penerbit.
Salah sebuah penerbit POD yang terawal, 1stBooks segera memanipulasi kombinasi dalam teknologi digital, dalam talian dan mempunyai kos rendah untuk menerbitkan judul POD mereka yang pertama, Diplomatic Immunity oleh Howard Olsen pada May 1999 dengan kos sebanyak RM1500.
Print on demand juga membolehkan banyak penulis, lebih-lebih lagi penulis baru mampu menerbitkan buku mereka sendiri dan menjualnya di amazon.com atau bn.com dengan modal keseluruhan projek serendah RM1500.
Teknologi print on demand ini merupakan teknologi cetakan laser 600dpi (dot per inch) yang bergabung dengan mesin penjilid dan mampu mencetak sebuah buku kurang daripada seminit (kelajuan cetak 800 halaman seminit). Teknologi ini jelas menggugat industri percetakan offset yang memerlukan infrastruktur yang besar dan mahal untuk mencapai skala ekonomi yang menguntungkan.
Suatu trend yang jelas di sini ialah perkembangan buku digital ini membolehkan banyak penulis menerbitkan buku mereka sendiri, penerbit dapat mengurangkan inventori stok di gudang dan kos penerbitan dapat dikurangkan dengan banyak.
Satu kemungkinan pada masa depan apabila wujud kedai-kedai print on demand yang juga mampu menjadi kedai buku segera. Pengguna boleh mengunjungi kedai ini, membelek katalog judul-judul yang disediakan dan terus memesannya. Senaskhah buku yang dipesan boleh siap dicetak di situ juga dalam masa beberapa minit sahaja.
4 comments:
hai
ada peluang buat terjemahan buku bersama-sama anda?
saya percaya industri terjemahan buku kita masih ada peluang.
Noor Azman,
sila hubungi saya sebab memang ada peluang-peluang terjemahan..
Memang menarik...baru terjumpa blog Hasri yang ini. projek terjemah, jangan lupa kak shidah.
Post a Comment