Thursday

5 trend penerbitan buku antarabangsa

trend 1: kewujudan konglomerat dan penggabungan media (media convergence)

Semenjak Perang Dunia Kedua, industri penerbitan buku telah mengalami perubahan yang amat radikal. Bermula sebagai sebuah industri desa pada tahun 1940-an yang hanya dinikmati oleh para elit di bandar-bandar besar. Kini, industri buku merupakan sebahagian daripada industri bersifat global dengan jumlah jualan seluruh dunia pada tahun 2001 berjumlah kira-kira US$80 bilion.

Dengan profil industri yang bersifat global tadi menyebabkan penerbit-penerbit yang kecil dengan lokasi yang berselerak di merata dunia semakin ditelan oleh konglomerat walaupun masih ada beberapa buah penerbit niche yang masih beroperasi atas sifatnya yang mengkhusus dan memasarkannya kepada segmen-segmen khas.

Pelaburan-pelaburan di bidang industri buku ini datang dari pelbagai sumber seperti pegangan syer awam dan juga aliran modal daripada empayar media lain yang mengalir sebahagian daripada keuntungannya ke anak syarikat bukunya.

Salah satu trend yang ketara akibat daripada pelaburan syer awam dan penggabungan ini ialah hak keempunyaan kebanyakan penerbit kini menjadi milik antarabangsa
Perniagaan penerbitan buku merupakan satu jenis perniagaan yang berisiko tinggi, rata-rata hanya 40% buku-buku yang diterbitkan bakal mencatatkan keuntungan. Hal ini menyebabkan konglomerat penerbit berfikir bahawa untuk memaksimumkan untung dengan jumlah pelaburan yang minima. Hasilnya mereka membuat keputusan akan mengeluarkan judul yang sedikit, selektif dan popular tetapi di dalam kuantiti yang banyak dan dipasarkan di seluruh dunia.

Namun, trend ini telah menyebabkan persaingan semakin kurang apabila hanya beberapa organisasi besar sahaja yang bersaing dan produk menjadi ‘homogenus’. Semua penerbit akan mengeluarkan produk atau judul yang hampir serupa.

Namun begitu, penggabungan dan penyatuan syarikat membolehkan para penerbit kecil yang bernaung di bawah payung konglomerat mengurangkan kos operasi, termasuklah kos-kos yang melibatkan penyimpanan stok, jualan dan pemasaran. Secara tidak langsung mereka mampu meningkatkan marjin keuntungan.

Saiz organisasi yang besar juga memberikan gergasi penerbitan ini kelebihan dalam perundingan tentang terma dan syarat dagang dengan peruncit gergasi seperti Barnes & Noble, Borders dan Amazon.com yang menguasai aspek pemasaran buku.

Jika suatu jenis buku itu mendapat permintaan yang tinggi dan bersaiz pasaran yang luas, penerbit-penerbit akan berlumba-lumba merebut pasaran yang sama.

Dalam jangkamasa yang panjang, kesan ini menjadi negatif kerana kurang buku yang mempunyai idea baru di pasaran, produk menjadi homogenus dan buku-buku yang mengkhusus (lebih-lebih lagi buku ilmiah) akan mengalami kepupusan. Penerbitan buku-buku ilmiah ini kemudiannya akan beralih menjadi terbitan dalam talian (on-line) sahaja kerana kos penerbitan dalam talian yang lebih murah (penerbitan on-line akan dibincangkan pada trend yang berikutnya).

Kewujudan konglomerat penerbit secara agresif ini juga menyebabkan berlaku penggabungan media (media convergence) apabila buku-buku yang diterbitkan akan dipakejkan bersama-sama produk media yang lain dalam organisasi seperti siri program di televisyen, filem dan produk-produk media yang lain.

Banyak contoh buku-buku yang telah diterbitkan kemudian diangkat sebagai filem cereka atau siri mini di televisyen. Fenomena ini muncul semenjak tahun 1818 lagi melalui novel ‘Frankenstein’ hasil tulisan Mary Shelly diadaptasi ke filem pada tahun 1910. Contoh yang terkini ialah penerbitan buku novel dalam siri Harry Potter oleh J.K. Rowlings yang telah difilemkan dan juga watak dalam novel ‘Lizzie McGuire’ yang telah dibuat siri televisyen, filem dan juga kartun oleh Disney Corporation melalui Buena Vista.

(Saya akan membicarakan Trend 2 & 3 akan datang)

1 comment:

Gelombang Rakyat said...

Trend akan datang, bila nak bincang?