Tuesday

dilema bahasa dalam penerbitan buku

Bahasa merupakan satu peluang kepada pengguna asalnya tetapi menjadi batu penghalang kepada orang lain. Dunia perbukuan, sepertimana dengan indutri yang lain terbahagi kepada dua sektor ekonomi iaitu Utara dan Selatan. Ekonomi sebelah Utara sering mempunyai lebih banyak kelebihan dan kuasa wang yang lebih besar berbanding negara-negara Selatan.

Tidak sepertimana penerbit-penerbit buku ilmiah di Hemispera Utara yang tidak menghadapi masalah bahasa kerana mereka sudah pasti menerbitkan buku-buku mereka dalam bahasa ‘metropolitan’ mereka sendiri, bahasa Inggeris. Bagi penerbit-penerbit di Selatan seperti contoh di Malaysia (Bahasa Melayu), Thailand (Bahasa Siam), Indonesia (Bahasa Indonesia) dan seumpamanya, mereka ini menghadapi masalah bahasa dalam penerbitan yang serius. Jika mereka menerbitkan buku dalam bahasa Inggeris, ia akan kerugian banyak pasaran ilmiah tempatannya manakala sudah tentu bagi pasaran lain daripada negaranya, mereka sukar bersaing dengan buku-buku bahasa Inggeris yang diimport dari negara-negara Utara.

Begitulah sebaliknya yang berlaku jika mereka menerbitkan buku tersebut dalam bahasa masing-masing, buku mereka akan langsung tidak laku di pasaran antarabangsa.

Walaupun sudah menjadi suatu yang biasa bagi seseorang penulis menulis manuskripnya dalam bahasa ibundanya namun semua penulis secara mutlaknya mahu mensasarkan bukunya ke pasaran yang lebih luas di seluruh dunia. Sebenarnya bukan jenis kewarganegaraan yang membentuk dunia penerbitan, tetapi bahasa sebenarnya.

Namun begitu, banyak penerbit-penerbit besar sebenarnya masih berhati-hati dalam menyeberangi sempadan bahasa asing. Kebanyakannya lebih selesa menerbitkan bukunya dalam bahasa Inggeris kerana pasarannya lebih selamat.

Namun begitu, pasaran buku bahasa Melayu di Malaysia dan bahasa Indonesia di Indonesia dikatakan berkembang seiring dengan penerbitan buku dalam bahasa Inggeris. Seiring dengan perkembangan bahasa dan dunia pembukuan itu sendiri, terdapat tanda-tanda bahawa beberapa buah negara telah mempunyai industri buku dalam bahasa tempatan yang berkembang pesat sehingga melampaui perkembangan bahasa penjajahnya seperti Brazil yang kini menjadi penerbit buku Bahasa Portugis terbesar jika dibandingkan dengan Portugal. Begitu juga bagi penerbit Argentina dan Mexico yang mempunyai pejabat yang besar di Sepanyol selain penerbit-penerbit di Australia dan Kanada yang menjadi penerbit buku bahasa Inggeris yang lebih besar daripada penerbit-penerbit di United Kingdom.

No comments: