Sunday

Kategori Buku Yang Paling Laku di Malaysia

Penerbitan buku di Malaysia sebenarnya sesuatu kegiatan ekonomi yang boleh dijangka. Saban tahun, bentuk-bentuk buku jenis yang sama yang akan terjual berbanding dengan genre-genre yang lain. Berikut disenaraikan jenis-jenis penerbitan buku di negara ini dan status keuntungannya:

1) Buku Teks Sekolah
Kategori yang untung lagi menguntungkan. Semua pelajar sekolah diwajibkan memilikinya dan dengan skim pinjaman 100% buku teks oleh Kementerian Pelajaran (KPM), buku-buku sebegini adalah mesin pencetak wang. Pada tahun 2010 nanti, KPM memperuntukan sejumlah RM81juta untuk menyediakan buku-buku teks kepada para pelajar sekolah. Dominasi buku-buku teks seluruh sekolah rendah (paling tinggi kuantitinya dimonopoli oleh Dewan Bahasa dan Pustaka). Penerbit-penerbit 'bumiputera' yang lain berkongsi tender bagi buku-buku sekolah menengah yang lain.

2) Buku rujukan sekolah
kategori kedua untung. Tidak syak lagi sebahagian besar ahli Persatuan Penerbit Buku (MABOPA) iaitu kira-kira 90 peratus adalah penerbit buku ulangkaji sekolah. Jika judul rujukan tambahan ini masuk ke dalam senarai buku-buku yang perlu dibeli oleh ibu bapa oleh pihak sekolah, alamat untunglah penerbit itu. Rata-rata penerbit yang berjaya sebegini boleh menjual buku rujukan teks sebanyak 20,000 hingga 30,000 naskhah bagi setiap judul bagi setiap darjah atau tingkatan (saiz keseluruhan pasaran kira-kira 400,000 seluruh negara). Penerbit-penerbit yang telah berjaya di kategori ini seperti Penerbit Sasbadi, Penerbitan Pelangi, Oxford Fajar, Longman Malaysia.

3) Buku-buku popular (novel, motivasi)
Buku-buku ini menumpukan pasaran mereka di kedai-kedai buku berangkai seperti MPH dan Popular. Pada suatu ketika pasaran novel melonjak tinggi sehingga ada judul novel yang popular mencapai penjualan sehingga 30,000 naskhah. Selain novel, trend kini juga menuju ke arah buku-buku motivasi diri, buku-buku berunsur kerohanian dan keagamaan, buku-buku panduan profesional seperti panduan mencari wang, panduan mengira cukai, panduan membaiki komputer dan sebagainya. Buku-buku sebegini boleh laku disekitar 2000 hingga 3000 naskhah. Penerbit novel popular ialah Alaf 21 dan KernaDya manakala penerbit buku-buku popularterulung ialah PTS Publications dan juga oleh Utusan Publications.

4) Buku-buku Professional
Buku-buku untuk usahawan atau ahli profesional. Di dalam kategori ini, banyak buku-buku dari luar negeri mendominasi pasaran ini. Bidang-bidang seperti Marketing, Business Strategy dan sebagainya didominasi oleh penerbit asing seperti McGrawHill dan John Wiley manakala penerbit tempatan menguasai bidang-bidang kritikal tempatan seperti Undang-undang oleh Malayan Law Journal (MLJ).

5) Buku-buku Universiti
Saiz pasaran bagi kategori ini sebenarnya besar, bagi satu-satu kursus popular seperti Kejuruteraan atau Sains Komputer boleh mencecah sehingga 20,000 - 30,000 pelajar seluruh negara. Namun begitu segment ini dimonopoli oleh 3 gergasi penerbit dunia; Pearson, McGrawHill dan Cengage. Pemain-pemain lain (tempatan) seperti Utusan, Arah Publications dan penerbit-penerbit universiti tempatan. Pasaran ini kecil kepada pemian-pemain tempatan dan boleh terjual sekitar 500 hingga 1000 naskhah dan kadangkala dibantu dengan pembelian oleh perpustakaan akademik seluruh negara. Saya akan muatkan dalam blog ini kenapa 3 gergasi tadi selesa mendominasi pasaran ini.

Lain-lain kategori buku adalah kategori buku kanak-kanak, buku kemahiran (memasak, mejahit, pengaturcaraan), kemudian ada buku-buku mewah, buku-buku biografi, buku-buku rujukan (kamus dan direktori). Kategori yang lain-lain ini akan saya tulis kemudian.

No comments: